Monday, August 2, 2010

Matahariku



Susahnya nk melupakan dirinya. Bayangannya selalu ada di mana-mana. Kadang-kadang aku hairan bagaimana orang lain boleh melaluinya. Bagi aku, melupakan seseorang yang sangat disayangi terlalu sukar untuk dilakukan. Selama bertahun-tahun, hanya dirinya berada dalam hati ini. Bagaimana harus aku membuang dirinya dengan sekelip mata? Walaupun dia tega membuang aku dan menyakitiku berulang kali, namun aku tetap tidak dapat membenci dirinya. Analoginya bagai kasih seorang ibu terhadap anaknya. Walaupun si anak selalu menyakiti dan membenci namun hati sang ibu tak pernah berhenti daripada menyayangi anaknya. Kerana kasihnya itu adalah fitrah yang lahir dari jiwa. Bukan dipaksa dan bukan mengharapkan balasan.


Aku tak pernah menyalahkan dirinya di atas setiap perbuatannya biarpun pahit bak hempedu untuk aku telan. Aku cuma berharap dia dapat memahami dan merasakan apa yang aku rasai ketika dia membuang aku jauh dari hidupnya. Terasa bagai hilang dahan untuk berpaut. Rasa keseorangan dan kekosongan. Dan aku takut untuk menghadapi hari-hari yang mendatang sendirian. Aku hilang keyakinan pada diri sendiri. Aku mula memikirkan perkara-perkara yang negatif.


Aku sedar. Malah cukup sedar. Aku tak boleh terus-terusan meratapi nasibku dan menganggap diriku mangsa keadaan. Ia tak akan merubah apa yang telah berlaku. Aku harus bangkit. Memang sukar namun inilah kenyataannya. Aku harus meneruskan hidupku dengan lebih baik. Hidup ini terlalu indah untuk disia-siakan begitu sahaja. Banyak lagi amanah dan tuntutan untuk kupenuhi. 


Walaupun perasaanku amat rapuh, namun aku terus memujuk diri ini supaya redha dan bersabar menghadapi dugaan ini. Sekali sekala cuma air mata yang setia menemani. Hanya doa yang menjadi kekuatanku. 


Dengarlah matahariku
Suara tangisan daku
Ku bersedih kerna panah cinta
menusuk jantungku



No comments:

Post a Comment